Pagi ni lepas joging dua round di UM, aku sarapan roti tsunami di warung Pak Ayob Pantai Dalam.
Kedai dia memang best, makanan sedap, tak crowded, dan harga berpatutan dengan kualiti yang dihidangkan. Gituh.
Tujuan aku tulis post ni bukanlah nak cerita pasal kesedepan roti tsunami yang disajikan dengan dua biji telur separuh masak mahupun kesegaran neslo ais pekat yang pasti buat kau mengigau, tapi aku nak cerita pasal business operation yang aku perhatikan di kedai Pak Ayob ni.
Sementara menunggu makanan yang dipesan sampai, mata aku asyik memerhatikan warga warung Pak Ayob bekerja mencari rezeki di pagi hari.
“Ada lapan orang kesemuanya. Empat lelaki dan empat perempuan”, aku kira.
Pak Ayob berperanan sebagai front liner dan accountant yang menjaga cash flow syarikat. Apabila ada pelanggan melangkah ke warung, dialah yang akan menyapa mereka:
“Ha masuk, masuk. Sana tu ada kosong.”, sapa Pak Ayob, penuh ramah.
Sekali sekala aku nampak Pak Ayob ni ada juga mengambil pesanan makanan pelanggan, kemas meja dan tugas-tugas lain.
Namun, peranan utamanya ialah menjaga kewangan syarikat. Urusan duit ni tak boleh banyak tangan yang jaga, nanti serabut bikin kabut.
Kedua, ada akak yang sentiasa tersenyum mengambil pesanan daripada meja ke meja. Akak ni aku kira, berperanan sebagai customer service executive.
Iyalah, nak melayan customer kelaparan, kenalah hantar orang yang suka senyum dan peramah.
(Disclaimer: aku makan dekat warung Pak Ayob sebab makanan dia sedap. Tu je)
Ketiga dan keempat, aku lihat di dapur roti canai ada seorang penebar roti canai lelaki yang dibantu oleh seorang lagi akak yang lain.
Tugas brother roti canai tu ialah memastikan production operation sentiasa seimbang dengan jumlah supply and demand daripada pelanggan.
Kau nak makan roti tsunami, roti kosong, roti telur, roti bom, roti kahwin, roti bujang kau bila nak kahwin, semua dia tebar.
Untuk memastikan production operation ni berjalan lancar, akak yang membantu brother ni tadi berperanan membungkus roti canai pelanggan, menuang kuah kari dan dhal serta lain-lain tugas sampingan di jabatan roti canai syarikat. Ewah.
Pagi-pagi orang Malaysia suka makan roti canai, maka mereka kena cekap dalam memastikan kepuasan pelanggan sentiasa dipenuhi.
Kelima, keenam dan ketujuh, ada seorang abang yang tugasnya hanyalah buat air untuk pelanggan, seorang abang yang lain tugasnya ialah mengemas meja dan membasuh pinggang mangkuk serta seorang lagi akak yang fokus pada tugasnya di bahagian nasi campur dan nasi lemak.
Akhir sekali ada seorang akak yang duduk di dapur memasak ‘ketung ketang ketung ketang’ (bunyi periuk). Akak ni aku kira, tugasnya ialah menyiapkan lauk pauk untuk makanan tengahari.
Yalah, nak berniaga makanan ni kena ikut kesesuaian masa, nasi lemak dan roti canai makanan sarapan pagi. Untuk tengahari, kenalah sediakan makanan lain.
Tapi kadang-kadang, orang Malaysia ni bantai saja makan apa pun, tak kira masa. Huhu.
Hah. Sekian saja pemerhatian aku sebagai pelanggan marhaen di warung Pak Ayob.
Mesejnya mudah, nak berniaga kau mesti pandai susun manpower kau, dan setiap pekerja mestilah memainkan peranan mereka dengan sebaik mungkin.
Siapa kata orang Melayu kita ni tak gah dan tak pandai berniaga? Meh sini aku nak pulas telinga dia.
Okeylah, sekian sahaja tazkirah pagi. Sesiapa nak belanja aku makan roti tsunami Pak Ayob, sila pm tepi.
Huhu.
Amirul Eqhwan Rahim.
Wartawan pagi anda.
Dipetik daripada laman Facebook Amirul Eqhwan.